Friday, October 2, 2009

Kawalan penyakit dan perosak orkid

Kawalan perosak merupakan satu perkara amat penting untuk anda ambil perhatian. Ini kerana ia mempengaruhi kualiti  hidup  orkid  dan mungkin yang lebih  penting anda mungkin kehilangan  orkid anda selamanya.

Penyakit orkid boleh dikelaskan kepada  bawaan 4 elemen, iaitu virus, bakteria, serangga dan kulat.  Kemahiran mengenal penyakit  memerlukan pengetahuan dan pengalaman kerana kadang kala  sesuatu penyakit itu mempunyai  tanda yang sama  untuk bawaan  virus atau bakteria atau kulat. Di sini penulis berkongsi pengalaman untuk rawatan penyakit bawaan  serangga, kulat dan bakteria sahaja.


3.4.1 Virus

Penyakit bawaan virus agak sukar untuk kita kenal pasti secara teliti kerana memerlukan ujian makmal. Bagaimanapun serangan virus hanya melemahkan pokok orkid anda, tidak menyebabkan  kehilangan poko k orkid kesayangan anda. Untuk mengelakkan jangkitan  virus  anda perlu  menjaga kebersihan kawasan penanaman. Untuk rawatan , anda perlu memusnahkan pokok yang dijangkiti. Ya , sudah pasti ia satu keputusan yang sukar untuk anda!

3.4.2 Bakteria

Biasanya tanda penyakit  orkid disebabkan  bakteria  meyamai  dengan penyakit bawaan kulat. Apa yang penulis perhatikan,  penyakit  bawaan bakteria adalah lebih cepat merebak  berbanding bawaan kulat. Tanda biasa penyakit bawaan bakteria ialah  reput pada mana-mana bahagian pokok dan berbau busuk. Keadaan tempat penanaman yang terlalu lembap dan  pengudaraan yang  kurang baik adalah antara faktor jangkitan.

Antara penyakit  bawaan bateria adalah:

Reput bakteria (Bacterial rot) – satu bintik coklat berair pada daun, cepat merebak. Biasa menyerang orkid famili Phalaenopsis.

Reput daun ( Brown Rot) – bintik berair pada daun, daun kuning dan gugur.

3.4.3 Kulat (fungus)

Tanda seperti  disebabkan  oleh bakteria tetapi  kadar merebak lebih lambat  dan tidak mengeluarkan bau busuk. Keadaan tempat penanaman yang terlalu lembap dan pengudaraan yang kurang baik adalah punca utama jangkitan. Antara penyakit bawaan kulat yang biasa menyerang orkid ialah:

 Antraknose

Black leaf spot

Cercospora leaf spot

Reput hitam ( Black rot)

Reput pangkal ( Basal rot)

Reput pucuk ( Crown rot)

 

Oleh sebab itu  ada  pengeluar  yang mengeluarkan racun 2 dalam 1  iaitu untuk merawat  penyakit kulat dan bakteria serentak. Ada racun yang dijual boleh merawat beberapa jenis penyakit dan ada yang tertumpu kepada satu jenis penyakit sahaja untuk pilihan pembeli.

 

3.4.3.1 Rawatan terhadap bakteria dan kulat

Potong dan buang bahagian jangkitan. Jika orkid simpodial, penulis membuang  rumpun kecil yang dijangkiti. Jika orkid monopodial, ia biasa berlaku pada daun, penulis hanya memotong daun yang dijangkiti sahaja.

 Sapukan atau semburkan racun kulat yang bersesuaian dengan penyakit kepada rumpun atau pokok yang telah sihat untuk langkah berjaga mengelakkan jangkitan.

Perhatikan perkembangan rumpun atau pokok yang telah dirawat, jika masih terdapat sebarang  jangkitan, ulangi proses di atas.

3.4.4 Serangga

Serangan serangga terhadap orkid adalah sesuatu yang  biasa. Antara serangga yang popular menyerang orkid adalah :

a. Semut

e. White flies

b. Aphid

f. Mites

c. Lipas

g. Scale insects

d. Kumbang

h.  Siput

 Aphid, Mealy bug, Mites, Scale insects dan Thrips adalah serangga penghisap cecair tumbuhan.  Mereka biasa  terdapat di bawah daun  orkid  dan mudah di lihat dengan mata kasar. Ia akan menyebabkan pertumbuhan pokok terencat. Kehadiran mereka boleh di kesan seperti berikut:

Aphid- terdapat warna kehitaman pada pokok , biasanya di bawah daun dan celahan daunan dan batang orkid.

White flies –  seperti lalat kecil warna putih berdebu berkelompok di belakang daun.

Mites  - warna kemerahan di belakang daun,  belakang daun akan menjadi kuning dan hitam jika jangkitan teruk serta cepat merebak. Ia suka keadaan yang kering.

Scale insect – warna kuning keputihan  di atas daun dan batang pokok orkid.

Thrips – warna agak coklat di atas daun  orkid.

Koleksi penulis  biasa diserang oleh mites dan  white flies sahaja. Ia menyerang orkid yang mempunyai daun yang lembut seperti famili Sphatoglottis, Catasetum dan Coelogyne.

Kumbang, lebah dan semut akan merosakkan bunga yang telah kembang dengan memakan kudup bunga dan juga  pendebugaan yang tidak kita kehendaki. Koleksi penulis biasa di serang kumbang berwarna kuning yang selalu meninggalkan larva pada tangkai bunga yang akan  memakan keseluruhan bunga. Lebah dan semut tidak menjadi masalah utama kepada koleksi penulis.

Siput dan lipas akan memberi masalah dengan cara ia memakan akar  dan pucuk muda pokok orkid anda. Ini akan merencatkan pertumbuhan pokok. Koleksi penulis hanya berhadapan dengan masalah siput sahaja.

3.5     Panduan membeli racun serangga dan kulat

Beli  racun yang boleh merawat penyakit  yang anda kehendaki. Biasanya pengeluar akan memberi  informasi ini pada  bungkusan racun. Ini kerana kadangkala terdapat penjual yang kurang pengetahuan mengenai penyakit orkid dan racun yang sesuai untuk rawatan.

No comments: